Sabtu, 7 April 2012

Sajak Kian Kita Lupa


Kian kita lupa
pada usul jernih bangsa
bila mewah harta dibirai mata.

Kian kita lupa
pada derita nenek moyang dahulu kala
bila asyik riak dan berbangga.

Kian kita lupa
pada azab dan seksa disana
bila Tuhan melimpahkan kurnia.

Tetapi
kita hanya tak lupa
bila terlewat masa.
untuk menyesali segala
terlanjur laku dan bicara
bahagia bertukar derita
gembira menjadi duka.

Karya Zulfazlan Jumrah

Maksud Sajak:-
  • Rangkap 1: Manusia semakin lupa pada kesusahan bangsa sendiri apabila dia mulai diulit kemewahan.
  • Rangkap 2: Manusia semakin lupa pada penderitan generasi terdahulu apabila dia bersikap riak dan berbangga dengan kesenangan yang sedang dinikmatinya.
  • Rangkap 3: Manusia semakin lupa pada azab akhirat apabila dia memperoleh nikmat yang banyak daripada Tuhan.
  • Rangkap 4: Manusia hanya tidak lupa untuk menyesali segala keterlanjurannya apabila dia ditimpa kesusahan dan kesedihan.
Tema
  • Sikap golongan manusia yang tidak menghargai jasa orang-orang yang terdahulu dan mulai lupa pada Tuhan apabila mengecapi kesenangan hidup.
Persoalan:-
  • Sikap manusia yang sombong dengan kemewahan yang dinikmati.
  • Sikap manusia yang tidak bersyukur dengan nikmat Tuhan.
  • Sikap manusia yang tidak mengenang jasa generasi terdahulu.
  • Sikap manusia yang hanya mengingati Tuhan semasa berada dalam kesusahan.
Bentuk:-
  • Sajak ini terdiri daripada 4 rangkap
  • Bilangan baris dalam rangkap pertama, kedua, dan ketiga adalah sama iaitu 3 baris serangkap. Bilangan baris dalam rangkap keempat ialah 7 baris serangkap.
  • Panjang pendek barisnya tidak sama, iaitu antara satu hinga enam patah kata atau tiga hingga dua belas suku kata sebaris.
  • Sajak ini berbentuk bebas.
Unsur-unsur bunyi:-
  • Asonansi: Contohnya, bila mewah harta dibirai mata (pengulangan vokal a)
  • Aliterasi: Contohnya, pada derita nenek moyang dahulu kala (pengulangan konsonan d)
  • Rima akhirnya bebas. Rangkap 1: aaa, Rangkap 2: aaa, Rangkap 3: aaa, dan Rangkap 4: abbbbbb.
Unsur-unsur bahasa:-
  • Pengulangan baris. Contohnya: baris pertama bagi rangkap pertama hingga rangkap ketiga adalah sama, iaitu Kian kita lupa.
  • Metafora. Contohnya, birai mata
  • Inversi. Contohnya, mewah harta
  • Sinkope. Contohnya, tak
  • Perlambangan. Contohnya, di sana melambangkan akhirat
Nilai:-
  • Bersyukur. Contohnya, Tuhan mengurniakan kesenangan dan kemewahan untuk disyukuri.
  • Bersedrhana. Contohnya, Kita tidak seharusnya terlalu berbangga dengan kemewahan yang dimiliki kerana kesusahan dan kesedihan akan muncul bila-bila masa.
Pengajaran:-
  • Janganlah kita lupa diri apabila memperoleh kemewahan.
  • Kita hendaklah bersyukur dengan nikmat Tuhan.

1 ulasan:

  1. Kian kita lupa pada usul jernih bangsa...apa dia punya gaya bahasa

    BalasPadam