Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh hendak lagi.
Ikan siakap ikan senohong,
Banyak cakap banyak bohong.
Pecah kaca pecah gelas,
Sudah dibaca harap balas.
Emas perak tembaga suasa,
Malas bergerak tidak merasa.
Pagi petang siang malam,
Hati terang senang faham.
Kumbang jarak kumbang jagung,
Berani buat berani tanggung.
Tunggu durian Teluk Emas,
Siapa kemudian kena kemas.
Buah cempedak dalam gantang,
Siapa hendak dia datang.
Periuk belanga pasu kuali,
Busuk nama menipu mencuri.
Saya kata itik, awak kata ayam,
Sudah kena jentik, baru nak diam.
Maksud setiap rangkap :-
- Ragkap 1: Keinginan untuk mendapatkan sesuatu pemberian sekiranya tiada halangan.
- Rangkap 2: Orang yang banyak berkata-kata akan melakukan lebih banyak kesilapan.
- Rangkap 3: Balasan yang diharapkan daripada penerima melalui surat yang diutus.
- Rangkap 4: Orang yang tidak berusaha tidak akan memperoleh apa-apa.
- Rangkap 5: Pemikiran yang cerdas membuatkan seseorang lebih mudah memahami sesuatu.
- Rangkap 6: Tanggungjawab yang harus ditanggung atas perbuatan yang dilakukan.
- Rangkap 7: Orang yang terakhir dikehendaki menyiapkan atau membersihkan sesuatu.
- Rangkap 8: Orang yang mememerlukan sesuatu perlulah menghadirkan diri.
- Rangkap 9: nama seseorang akan tercemar sebagai akibat melakukan perbuatan yang keji.
- Rangkap 10: Seseorang itu tidak akan mengulang perbuatan setelah menerima hukuman atau dendaan.
Persoalan:-
- Keburukan orang yang banyak bercakap.
- Malas berusaha tidak ada faedahnya.
- Apabila sudah ditegur barulah hendak sedar.
- Berusaha jika mahu mendapatkan sesuatu.
- Orang yang suka menipu dan mencuri akan dikeji.
- Berani menanggung sesuatu perkara yang telah dibuat.
- Terdiri daripada 10 rangkap
- Bilangan baris dalam setiap rangkapnya sama, iaitu 2 baris
- Setiap baris mempunyai 4-6 patah kata
- Setiap baris terdiri daripada 8-12 suku kata
- Rima akhir setiap rangkap aa
- Asonansi: Contohnya, Hati terang senang faham (pengulangan vokal a)
- Aliterasi: Contohnya, Kumbang jarak kumbang jagung (pengulangan konsonan k)
- Jeda, iaitu hentian sejenak ditengah baris semasa mendeklamasikan pantun. Contohnya, Emas perak/tembaga suasa, Malas bergerak/tidak merasa [Tanda / bermaksud tanda jeda/pemenggalan puisi/sizura]
- Imej alam-daun keladi, ikan siakap, durian, cempedak
- Sinkope-nak
- Repetisi-(pengulangan kata dalam baris). Contohnya : Berani buat berani tanggung
- Metafora- Hati terang
- Keberanian
- Kerajinan
- Bertanggungjawab
- Penghargaan
- Kejujuran
- Janganlah berbohong kerana perbuatan itu sia-sia
- Kita seharusnya rajin berusaha supaya apa-apa yang dihajati tercapai
Sebijik macam cikgu saya bagi! tq so much
BalasPadam