Sabtu, 7 April 2012

Novel Hikmah

Sinopsis:-

http://www.scribd.com/doc/27429466/Nota-Novel-Hikmah

Tema, Persoalan, Watak & Perwatakan, Latar

http://www.scribd.com/doc/27429738/Novel-Hikmah

Nilai:-

-Bertanggungjawab.Contohnya,ibu Amri menjalankan tanggungjawab seorang ibu dengan penyediaan makan tengah hari dan wang saku untuk persekolahan anaknya

-Berani.Contohnya,Sapura berani melaporkan tindakan Amri membuli murid-murid lain kepada guru disiplin

-Amanah.Contohnya,Sapura bersikap amanah dengan tugas yang telah diberikan kepadanya

-Baik Hati.Contohnya,Sapura dan keluarganya sanggup membantu Amri dan ibunya dengan membawa mereka ke hospital

-Simpati.Contohnya,Sapura bersimpati dengan nasib yang menimpa Amri dan ibunya

-Tabah.Contohnya,emak Amri tabah menghadapi sikap suaminya yang sering meminta wang dan memukulnya.

Pengajaran:-

-kita hendaklah bersikap amanah dengan tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita

-kita mestilah reda dan tabah dengan ujian dan ketentuan Tuhan

-anak-anak hendaklah menyayangi dan menghormati ibu-bapa

-janganlah kita suka menyimpan dendam


Drama Surat Untuk Ina

SINOPSIS
Badar dan Jais cuba mengorek rahsia Zali yang meminati seorang pengawas yang bernama Zalina. Zali tidak mengiyakan atau menidakkan perkara itu sebaliknya dia hanya tersenyum. Badar dan Jais mencadangkan supaya Zali menulis surat kepada Zalina. Zali bimbang kalau-kalau Zalina akan mengadukan perkara itu kepada Cikgu Halil, guru disiplin di sekolah mereka. Badar dan Jais meminta Zali menulis surat tanpa nama pengirim dan menyatakan niatnya yang ingin berkenalan serta bersahabat dengan Zalina. Akhirnya surat itu siap ditulis oleh Zali dan diletakkan di dalam meja Zalina.
Zalina membawa surat yang ditulis oleh Zali untuk ditunjukkan kepada Cikgu Halil. Jais bimbang rahsia Zali terbongkar. Zali agak yakin Cikgu Halil tidak akan tahu. Namun begitu, apabila Jais menyebut tentang tulisan Zali, Zali mulai bimbang. Badar Zalina tidak mungkin berani melaporkan perkara itu kepada Cikgu Halilnkerana nanti dia juga yang akan malu. Ternyata andaian Badar itu meleset. Cikgu Halil masuk ke kelas dan menyuruh semua pelajar mengeluarkan buku latihan masing-masing. Cikgu Halil meneliti tulisan dalam buku para pelajar. Beliau meneliti tulisan dalam buku Zali agak lama. Cikgu Halil meminta Zali menulis nama dan alamatnya di papan hitam. Terbuktilah bahawa tulisan dalam surat itu meyerupai tulisan Zali. Beliau meminta Zali mengakui kesalahannya.
Cikgu Halil memutuskan hukuman yang akan dikenakan terhadap Zali bergantung kepada keputusan Zalina. Zali meminta maaf kepada Zalina. Zalina memaafkan Zali dan menasihati Zali supaya tidak mengulang perbuatannya. Badar dan Jais berasa gembira.

TEMA: Kenakalan pelajar lelaki yang sedang meningkat remaja yang melanggar peraturan sekolah.

PERSOALAN
1. Perasaan tertarik kepada individu yang berlainan jantina.
2. Pengaruh rakan sebaya yang kuat terhadap remaja.
3. Peranan guru dalam menyelesaikan masalah yang timbul.
4. Amalan bermaaf-maafan merupakan amalan yang baik.
5. Ketegasan seorang pengawas untuk menguatkuasakan peraturan sekolah

WATAK DAN PERWATAKAN

Zali: rakan Badar dan Jais, meminati Zalina, mudah terpengaruh oleh kata-kata Badar dan Jais,pelajar yang baik dan bijak,berani mengakui kesalahannya, sanggup meminta maaf atas kesalahan yang dilakukannya.
Badar: rakan Zali dan Jais, nakal dan suka mengusik orang, tahu bahawa Zali meminati Zalina, pandai mempengaruhi Zali.
Jais: rakan Zali dan Badar, nakal dan suka mengusik orang, tahu bahawa Zali meminati Zalina, pandai mempengaruhi Zali.
Zalina: pengawas sekolah dan berambut panjang, bijak,cantik dan bersopan, tegas, rajin, pemaaf.
Cikgu Halil: tidak terburu-buru dalam membuat keputusan, bijak,tegas, berfikiran terbuka.
Fatimah: kawan baik Zalina, pustakawan sekolah.


PLOT
Permulaan: Zali, Jais dan Badar berbual-bual di bawah pokok tentang seorang pengawas perempuan di sekolah mereka, Zalina. Zali berhasrat mahu berkenalan dengan Zalina.
Perkembangan: Jais mencadangkan kepada Zali agar menulis surat kepada Zalina dan meletakkan surat tersebut ke dalam meja Zalina. Zali menyetujuinya. Dengan bantuan Jais dan Badar yang mengawasi persekitaran, Zali berjaya meletakkan surat tersebut di dalam meja Zalina.
Perumitan: Fatimah marah apabila Badar, Zali dan Jais membuat bising di dalam kelas. Zalina menemui Cikgu Halil dan menyerahkan surat yang diterimanya kepada Cikgu Halil.
Puncak: Cikgu Halil mengarahkan semua murid meletakkan buku karangan masing-masing di atas meja. Zali yang tidak membawa buku karangannya diminta menulis alamatnya di papan hitam. Perbuatan Zali terbongkar apabila tulisannya sama dengan tulisan dalam surat yang diterima oleh Zalina.
Peleraian: Zali meminta maaf kepada Zalina atas perbuatannya dan Zalina memaafkannya.

TEKNIK PLOT
Teknik dialog
ZALI: Kalau aku tidak tulis nama, macam mana aku hendak kenal dia.
Dan bagaimana pula dia hendak mengenali aku?
BADAR: Tadi, kau kata takut dilaporkan kepada Cikgu Halil.
Teknik pemerian
Contoh: ZALI segera beredar ikut pintu belakang. Mereka bertiga terus berlalu. ZALINA dan rakan-rakannya masuk ke kelas. ZALINA terus duduk di dalam kelas. Selepas itu, BADAR dan rakan-rakannya masuk.
Teknik saspens
Pembaca tertanya-tanya sama ada rahsia Zali akan terbongkar atau tidak apabila Zalina membuat keputusan menemui Cikgu Halil setelah dia menerima surat tanpa nama pengirim itu.

GAYA BAHASA
 Peribahasa : Sudahlah! Janganlah masuk bakul, angkat sendiri.
 Bahasa Inggeris : member, relax
 Sinkope: Li, kau ingat tak apa yang kautanyakan aku semalam!
 Similie: otak macam komputer dan gadis yang cantik macam bidadari.
 Repitisi: Apabila dia masuk ke kelas, dia akan buka dan membacanya.
 Anafora: Aku boleh belajar dan mengulang kaji pelajaran bersama-samanya.
Aku belajar pun, akan bertambah semangat.

LATAR
 Latar tempat: di bawah pokok, di satu kawasan lapang, di dalam kelas.
 Latar masa: waktu pagi ( waktu persekolahan ).
 Latar masyarakat
• Masyarakat sekolah: murid dan guru.
• Masyarakat murid yang gemar melanggar peraturan sekolah.
• Masyarakat yang mengamalkan sikap saling bermaafan.
• Masyarakat pengawas yang tegas menegakkan disiplin.

NILAI
• Ketegasan
• Kebijaksanaan
• Bertanggungjawab
• Bermaaf-maafan
• Patuh kepada arahan

PENGAJARAN
1. Guru mestilah tegas kepada murid yang tidak mematuhi peraturan sekolah.
2. Sikap saling bermaaf-maafan mestilah diamalkan dalam kehidupan.
3. Setiap masalah hendaklah diselesaikan dengan bijak.
4. Sikap suka melanggar peraturan sekolah mestilah dihindarkan.
5. Kita mestilah tegas menjalankan tugas yang diamanahkan

Cerpen Kasut Kelopak Jantung

SINOPSIS Cerpen ini mengisahkan Cikgu Harun yang menerima bungkusan hadiah setiap tahun, terutamanya pada Hari Guru teringat semula peristiwa yang berlaku tiga puluh tahun dahulu sewakta beliau bertugas sebagai guru di kawasan pedalaman. Cikgu Harun sememangnya seorang guru yang tegas dalam soal keceriaan pelajar dan kelas. Beliau memarahi Ahmad yang tidak memakai kasut sekolah walaupun sudah tiga minggu sesi pesekolahan bermula. Di padang sekolah, Ahmad sekali lagi dimarahi Cikgu Harun kerana tidak membawa pakaian sukan. Oleh sebab itu, Cikgu Harun mendenda Ahmad dengan menyuruhnya mancari tali rafia untuk mengikat kelopak jantung pisang pada bahagian kakinya untuk dijadikan “kasut”. Ahmad merupakan murid yang patuh akan arahan gurunya terus mengikat kelopak jantung pisang. Dia berasa malu atas denda yang dikenakan oleh Cikgu Harun yang sebenarnya mahu Ahmad membeli kasut sekolah demi keselamatan kakinya. Selepas hari persekolahan tamat, Ahmad berlari ke rumah supaya kasut kelopak jantungnya tidak dikesan oleh kawan-kawan. Sejak hari itu, Ahmad tidak hadir ke sekolah. Cikgu Harun hairan akan perkara tersebut dan mengetahui bahawa Ahmad ingin berhenti sekolah. Cikgu Harun yang berasa kesal atas dendanya terhadap Ahmad pula mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Ahmad untuk mengetahui perkara yang sebenar. Akhirnya, dia mengetahui bahawa Ahmad tinggal bersama ibunya yang uzur dan tua tidak mampu membeli kasut sekolah dan terpaksa mengambil upah memetik cili di kebun orang lain. Cikgu Harun yang tersentuh akan kedaifan Ahmad telah membelikannya sepasang kasut dan sepasang uniform sekolah. Ahmad yang berterima kasih atas pemberian Cikgu Harun telah belajar dengan gigih dan menjadi seorang pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka. Sejak itu, Ahmad menghadiahkan kasut kepada Cikgu Harun sebagai membalas jasa gurunya, Cikgu Harun.

 TEMA: Penghargaan seorang murid terhadap jasa guru yang ikhlas membantunya sewaktu murid itu miskin dengan menekankannya kepentingan memakai kasut.

PERSOALAN:-
 1. Ketegasan guru di sekolah demi mendisiplinkan pelajar.
Contohnya, Cikgu Harun yang tegas menyebabkan Ahmad takut untuk merenung wajahnya tepat-tapat. Selain itu, Ahmad dimarahi Cikgu Harun kerana tidak memakai kasut dan tidak membawa pakaian sukan.
2. Keprihatinan guru terhadap masalah murid.
Contohnya, Cikgu Harun yang prihatin akan kemiskinan keluarga Ahmad telah membelikannya sepasang kasut dan sepasang uniform sekolah.
3. Keikhlasan murid membalas jasa guru.
Contohnya, walaupun Ahmad sudah besar dan berjawatan tinggi, namun dia tetapi mengingati jasa Cikgu Harun dengan menghadiahinya sepasang kasut pada setiap Hari Guru.
4. Kepentingan memakai kasut di sekolah.
Contohnya, Cikgu Harun tegas memastikan pelajar memakai kasut supaya muridnya tidak mengalami kecederaan kaki.
5. Penghargaan murid terhadap jasa guru.
Contohnya, setiap Hari Guru, Cikgu Harun akan menerima hadiah berupa kasut berjenama mahal daripada anak muridnya yang mengingati jasa gurunya itu walaupun sudah 30 tahun berlalu.



WATAK DAN PERWATAKAN

CIKGU HARUN
Cikgu Harun sudah bersara daripada pekerjaan guru. Beliau pernah mengajar di kawasan pedalaman 30 tahun yang lalu. Dia yang prihatin akan kebajikan murid telah menghadiahkan sepasang pakaian sekolah dan sepasang kasut kepada Ahmad. Beliau yang pernah bertegas dengan anak muridnya itu mendapat balasan baik daripada anak muridnya yang menghadiahinya sepasang kasut berjenama mahal pada setiap sambutan Hari Guru.

AHMAD
Ahmad merupakan seorang murid miskin yang tinggal di hujung kampung, kawasan pedalaman. Dia terpaksa mengambil upah memetik cili hanya untuk mengumpulkan wang demi membeli kasut sekolah lantaran ibunya yang tua dan uzur. Ahmad tidak pernah ponteng sekolah malah sentiasa mengikut arahan gurunya, Cikgu Harun. Walaupun Cikgu Harun mengarahkannya memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang, dia tetap menurut perintah tersebut. Ahmad akhirnya menjadi seorang yang berjawatan tinggi di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar masih mengingati jasa gurunya dengan menghadiahi Cikgu Harun sepasang kasut pada Hari Guru.

IBU AHMAD
Ibu Ahmad seorang wanita separuh umur yang sudah uzur. Dia tinggal bersama anaknya, Ahmad di sebuah pondok usang di hujung kampung. Walaupun miskin harta, ibu Ahmad amat menghormati tetamu kerana menjemput Cikgu Harun masuk ke rumah sementara menunggu Ahmad pulang ke rumah. Ibu Ahmad tidak bekerja lagi kerana sudah uzur. Oleh sebab itu, Ahmad terpaksa mengambil upah memetik cili demi menampung perbelanjaan keluarga di samping membeli kasut sekolah.

PLOT
PERMULAAN
1. Pada 16 Mei, Hari Guru, Cikgu Harun menerima sebungkus hadiah yang tidak dipos.
2. Cikgu Harus tahu benar pengirim hadiah itu dan bertanya kepada diri sendiri sama akan hadiah itu dihantar dengan ikhlas atau sindir atau kedua-duanya.

PERKEMBANGAN1. Cikgu Harun mengingati peristiwa yang telah berlaku 30 tahun yang lalu apabila menerima bungkusan hadiah daripada salah seorang anak muridnya.
2. Cikgu Harun masih ingat bahawa dia pernah menegur Ahmad kerana tidak memakai kasut dan tidak membawa pakakian sukan ke sekolah.
3. Cikgu Harun telah mendenda Ahmad memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang.
4. Ahmad berasa malu dan sedih. Dia terasa seperti disindir oleh Cikgu Harun dan banyak murid yang mengetawakannya.

PERUMITAN
1. Ahmad tidak hadir ke sekolah selama seminggu.
2. Kawan Ahmad menyampaikan khabar bahawa Ahmad ingin berhenti sekolah.
3. Cikgu Harun tersentuh dan berasa menyesal atas tindakannya mendenda Ahmad.
4. Cikgu Harun mengambil keputusan untuk pergi ke rumah Ahmad dan mendapati ibunya sudah uzur dan Ahmad bekerja sebagai pemetik cili untuk menampung kehidupan keluarga.

PUNCAK1. Ahmad memberitahu punca sebenar dia tidak ke sekolah, yakni tidak mampu membeli kasut sekolah sebagaimana yang diarahkan oleh Cikgu Harun.
2. Cikgu Harun membuat keputusan untuk membelikannya sepasang kasut sekolah baharu dan sepasang pakaian sekolah baharu serta mengarahkan Ahmad supaya kembali ke sekolah.
3. Ahmad hanya mampu mengucapkan terima kasih atas bantuan Cikgu Harun.
PELERAIAN
1. Cikgu Harun sudah bersara tetapi jasanya tetap dikenang oleh Ahmad.
2. Ahmad menghadiahi Cikgu Harun sepasang kasut berjenama pada setiap Hari Guru.
3. Cikgu Harun sedar bahawa hadiah itu diberikan oleh Ahmad dengan hati yang ikhlas sebagaimana ditulis dalam surat yang disertai bersama bungkusan kasut itu. Amad sudah berjaya menjawat jawatan tinggi.

TEKNIK PLOT
1. Dialog – pertuturan antara watak yang dapat menghidupkan cerita.
Contoh: “Ahmad, mana kasut?” tanya Cikgu Harun dengan suara yang keras.

2. Monolog – watak bercakap sendiri tanpa didengar atau disedari oleh sesiapa.
Contoh: “Jauh juga rumah Ahmad,” bisik hati kecil Cikgu Harun.

3. Monolog dalaman – kata-kata seseorang watak di dalam hati yang tidak diketahui oleh sesiapa.
Contoh: Mana ada guru yang mahu muridnya gagal dalam pelajaran. Mana ada guru yang mahu murid-murid berhenti sekolah. Jika tidak ada murid, dari mana datangnya kerjaya seorang guru. Murid dan guru itu saling melengkapi. Kini, seorang murid hendak berhenti sekolah. Jika itu terjadi, negara akan kehilangan seorang warga yang berpendidikan. Cikgu Harun mula disapa penyesalan yang bukan sedikit ketika itu.

4. Kejutan – peristiwa yang tidak disangka-sangka oleh pembaca.
Contoh: Ahmad terkejut dengan kehadiran Cikgu Harun di rumahnya dan Cikgu Harun terkejut melihat Ahmad masih memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang yang didenda oleh Cikgu Harun.

5. Saspens – peristiwa yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pembaca
Contoh: Besok, tempat duduk Ahmad kosong. Cikgu Harun sedar bahawa Ahmad tidak datang. Selama ini, Ahmad tidak pernah ponteng sekolah. Dia rajin ke sekolah walaupun terpaksa berjalan tanpa kasut.
Hari berikutnya juga Ahmad tidak datang. Hari selepasnya pun begitu. Kini, seminggu sudah Ahmad tidak hadir. Cikgu Harun berasa ada sesuatu yang tidak kena. Dia cuba mendapatkan maklumat daripada murid-murid yang lain.

6. Pemerian – gambaran suasana atau keadaan oleh penulis.
Contoh: Sebaik sahaja sampai si sebuah rumah, tidak ada penghuni dilihat oleh Cikgu Harun dalam rumah yang layak disebut pondok itu. Cikgu Harun memandang sekeliling. Suasana sepi sekali. Dia pasti itulah rumah Ahmad seperti yang diberitahu oleh anak-anak muridnya yang lain.

7. Imbas kembali – teknik watak mengingati peristiwa yang sudah berlaku.
Contoh: Cikgu Harun mengingati peristiwa yang sudah berlaku lebih 30 tahun, kejadian beliau mendenda anak muridnya memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang

LATAR TEMPAT
1. Rumah Cikgu Harun di bandar
Contoh: Cikgu Harun menerima bungkusan kasut baharu di rumahnya.

2. Kawasan pedalaman
Contoh: Cikgu Harun pernah bekerja sebagai guru di kawasan pedalaman lebih tiga puluh tahun yang lalu.

3. Bilik darjah
Contoh: Cikgu Harun pernah menegur Ahmad kerana tidak berkasut ke sekolah. Selain itu, Cikgu Harun juga bertanya kepada pelajar-pelajarnya tentang sebab Ahmad tidak hadir ke sekolah.
4. Padang sekolah
Contoh: Di kawasan padang, murid-murid melakukan aktiviti sukan dan bersenam kecuali Ahmad. Di situlah juga Ahmad didenda memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang.

5. Rumah Ahmad
Contoh: Cikgu Harun pergi ke rumah Ahmad untuk menjenguknya dan mengenal pasti sebab dia tidak hadir ke sekolah.

6. Kebun sayur
Contoh: Ahmad bekerja sebagai pemetik cili di kebun sayur untuk menampung perbelanjaan keluarga.

7. Pekan
Contoh: Cikgu Harun pergi ke pekan untuk membeli sepasang kasut sekolah baharu dan sepasang uniform sekolah baharu kepada Ahmad supaya dia dapat ke sekolah semula.

LATAR MASA
1. Zaman moden
Contoh: Cikgu Harun sudah bersara dan tinggal di bandar pada zaman moden ini. Selain itu, Ahmad sudah menjadi pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka.

2. 30 tahun yang lalu
Contoh: Cikgu Harun masih ingat bahawa dia pernah menegur Ahmad kerana tidak memakai kasut dan tidak membawa pakakian sukan ke sekolah. Cikgu Harun telah mendenda Ahmad memakai “kasut” yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang. Ahmad berasa malu dan sedih. Dia terasa seperti disindir oleh Cikgu Harun dan banyak murid yang mengetawakannya.

3. Tempoh seminggu
Contoh: Selepas didenda oleh Cikgu Harun, Ahmad tidak hadir ke sekolah selama seminggu dan kawannya memberitahu Cikgu Harun bahawa Ahmad ingin berhenti sekolah.

4. Waktu pagi tiga minggu selepas sekolah dibuka
Contoh: Ahmad dimarahi oleh Cikgu Harun kerana tidak memakai kasut sekolah dan tidak membawa pakaian sukan untuk aktiviti pendidikan jasmani di padang.

5. Suatu petang selepas seminggu Ahmad tidak hadir ke sekolah.
Contoh: Cikgu harun pergi ke rumah Ahmad untuk mengetahui sebab dia mahu berhenti sekolah.

6. 16 Mei
Contoh: Cikgu Harun mendapat hadiah berjenama mahal daripada muridnya setiap sambutan Hari Guru.

7. Selepas sekolah tamat / tengah hari
Contoh: Ahmad yang malu selepas didenda memakai kasut kelopak jantung telah lari ke rumah.

LATAR MASYARAKAT
1. Masyarakat guru
Contoh: Cikgu Harun yang sudah bersara mengingati peritiwa yang berlaku lebih 30 tahun yang lalu.

2. Masyarakat pelajar
Contoh: Ahmad merupakan pelajar sekolah yang belajar dalam tahun tiga di kawasan pedalaman. Dia pernah dimarahi oleh Cikgu Harun kerana tidak memakai kasut ke sekolah dan tidak membawa pakaian sukan.
3. Masyarakat miskin
Contoh: Ahmad dan ibunya tinggal di sebuah pondok kecil kerana hidup dalam kesederhaan. Lagipun, Ahmad terpaksa mengambil upah memetik cili dalam usia yang muda.

4. Masyarakat yang mengenang jasa guru
Contoh: Ahmad seorang murid yang amat mengenang jasa Cikgu Harun. Setiap kali sambutan Hari Guru, dia akan menghantar bungkusan berisi kasut berjenama mahal untuk dihadiahkan kepada Cikgu Harun. Hal ini membuktikan bahawa dia amat menghargai jasa gurunya walaupun sudah berjaya dalam kehidupan.

5. Masyarakat yang tabah menghadapi kemiskinan
Contoh: keluarga Ahmad tabah menghadapi kemiskinan hidup. Dia dan ibunya tinggal di sebuah pondok di hujung kampung.

GAYA BAHASA1. Paradoks – gabungan antara unsur positif dan negatif dalam satu ayat.
Contoh: Atau sindiran dan keikhlasan yang telah bergumpal menjadi satu.

2. Penggunaan ayat yang ringkas dan pendek.
Contoh: Soalan itu bukan yang pertama.
Waktu rehat Ahmad tidak keluar.
Dia tidak bercakap banyak.
Dia telah pun menduga.

3. Simile – unsur perbandingan secara langsung oleh penulis.
Contoh: -Suara anak kecil itu tidak mahu keluar bagai ada sesuatu yang tersengkang pada batang tenggoraknya.
-Ahmad pun datang terkebil-kebil, tertunduk-tunduk seperti ayam kalah menyabung.
-Ahmad memandang kosong ke wajah Cikgu Harun seperti mahu meminta sesuatu.
-Selepas sebelah, sebelah lagi dipasangkan seperti memakai kasut sekolah.
-Kadang-kadang dilihatnya Ahmad seperti lurus bendul.
-Ahmad berjalan macam lembu sakit kaki.
-Terasa ketika itu kasutnya macam kaki gajah yang untut dan tidak cantik. Seperti kaki ayam yang mencakar najis. Terasa kakinya seperti kaki monyet, kaki itik, dan kaki tiang rumahnya yang usang. Malah Ahmad terasa dirinya seperti tidak berkaki langsung.

4. Peribahasa – ungkapan menarik yang digunakan oleh pengarang
Contoh: berkaki ayam, budak hingusan, lurus bendul, angkat muka, berkecil hati, dan separuh umur.

5. Personifikasi – penggunaan unsur kemanusiaan dalam unsur bukan manusia.
Contoh: Rasa bersalah mula mengerang perasaannya.

6. Sinkope – penggunaan singkatan kata
Contoh: tak, dah, nak, ni

7. Repitasi – pengulangan kata.
Contoh: Mana ada guru yang mahu muridnya gagal dalam pelajaran. Mana ada guru yang mahu murid-murid berhenti sekolah.

8. Gaya bahasa dialog
Contoh: “Ahmad, mana kasut?” tanya Cikgu Harun dengan suara yang keras.

NILAI MURNI DAN PENGAJARAN
1. Nilai murni à Menghormati orang yang lebih tua
Pengajaran : Kita mestilah menghormati orang yang lebih tua dan yang lebih berpengalaman daripada kita.
Contoh: Ahmad amat menghormati Cikgu Harun dan tidak pernah mengingkari arahannya.

2. Nilai murni -Keinsafan
Pengajaran : Kita mestilah sedar akan kesilapan yang kita lakukan supaya tidak mengulanginya.
Contoh: Cikgu Harun sedar bahawa dendanya agak keterlaluan dan dia tersentuh dengan keputusan Ahmad yang mahu berhenti sekolah kerana tidak mampu membeli kasut sekolah.

3. Nilai muri -Keikhlasan
Pengajaran : Kita mestilah ikhlas semasa memberikan hadiah kepada seseorang.
Contoh: Cikgu Harun tahu bahawa anak muridnya, Ahmad ikhlas memberikannya hadiah berupa sepasang kasut berjenama demi menghargai jasa gurunya.

PENGAJARAN
  • Seorang murid haruslah mendengar arahan gurunya
  • Seorang guru haruslah tegas dalam mendidik 

Hikayat Marakarma


Sinopsis setiap bab boleh didapati pada pautan yang tetera pada link-link berkaitan di sebelah kanan blog.
Semua boleh rujuk pautan disebelah kanan blog untuk mendapatkan lebih informasi mengenai Prosa Tradisional ini.
Tema:-
  • Hikayat Marakarma ini bertemakan ketabahan hati sepasang suami isteri yang berasal dari kayangan menempuh dugaan dan kesengsaraan hidup dibumi.
Persoalan:-
  • Kemurahan hati seorang pemerintah dalam memenuhi permintaan rakyatnya yang hidup serba kekurangan.
  • Kesabaran ketika berdepan dengan pelbagai ujian dan masalah.
  • Kesakitan yang tidak dimiliki oleh manusia biasa.
  • Kasih sayang seorang suami kepada isterinya.
Watak:-
  • Watak Utama: Bertara Angkasa Indera Dewa(Si miskin)
  • Watak Sampingan: Dewi Kenchana(Isteri si miskin), Bertara Guru, Maharaja Indera Dewa, Marakarma, dan Tuan Puteri Nila Kesuma.
Perwatakan(Rujuk pautan sebelah kanan di link-link berkaitan)

Plot(Rujuk pautan sebelah kanan di link-link berkaitan)

Teknik plot:-
  • Teknik dialog
  • Teknik monolog
Gaya Bahasa:-
  • Diksi. 1)Penggunaan bahasa klasik. Contohnya:  tajau, kaus, bokor, dan masyghulnya. 2)Penggunan bahasa istana. Contohnya: patik, Tuanku, bertitah, bermohon, dan murka.
  • Simile. Terlalulah sebak hati suaminya melihat tingkah laku isterinya itu seperti orang hendak mati.
  • Repetisi. Contohnya, Maka ada yang memberi buah, ada yang memberi juadah, ada yang memberi nasi, ada yang memberi kain, ada yang memberi buah-buahan, ada anak yang diidamkan oleh isteri.
Latar (Rujuk pautan sebelah kanan di link-link berkaitan)

Nilai:-
  • Keberanian
  • Kasih sayang
  • Kesaktian
  • Sabar
  • Adil
  • Simpati
Pengajaran:-
  • Kita hendaklah tabah menghadapi pelbagai dugaan.
  • Kita hendaklah bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah.

Sajak Kian Kita Lupa


Kian kita lupa
pada usul jernih bangsa
bila mewah harta dibirai mata.

Kian kita lupa
pada derita nenek moyang dahulu kala
bila asyik riak dan berbangga.

Kian kita lupa
pada azab dan seksa disana
bila Tuhan melimpahkan kurnia.

Tetapi
kita hanya tak lupa
bila terlewat masa.
untuk menyesali segala
terlanjur laku dan bicara
bahagia bertukar derita
gembira menjadi duka.

Karya Zulfazlan Jumrah

Maksud Sajak:-
  • Rangkap 1: Manusia semakin lupa pada kesusahan bangsa sendiri apabila dia mulai diulit kemewahan.
  • Rangkap 2: Manusia semakin lupa pada penderitan generasi terdahulu apabila dia bersikap riak dan berbangga dengan kesenangan yang sedang dinikmatinya.
  • Rangkap 3: Manusia semakin lupa pada azab akhirat apabila dia memperoleh nikmat yang banyak daripada Tuhan.
  • Rangkap 4: Manusia hanya tidak lupa untuk menyesali segala keterlanjurannya apabila dia ditimpa kesusahan dan kesedihan.
Tema
  • Sikap golongan manusia yang tidak menghargai jasa orang-orang yang terdahulu dan mulai lupa pada Tuhan apabila mengecapi kesenangan hidup.
Persoalan:-
  • Sikap manusia yang sombong dengan kemewahan yang dinikmati.
  • Sikap manusia yang tidak bersyukur dengan nikmat Tuhan.
  • Sikap manusia yang tidak mengenang jasa generasi terdahulu.
  • Sikap manusia yang hanya mengingati Tuhan semasa berada dalam kesusahan.
Bentuk:-
  • Sajak ini terdiri daripada 4 rangkap
  • Bilangan baris dalam rangkap pertama, kedua, dan ketiga adalah sama iaitu 3 baris serangkap. Bilangan baris dalam rangkap keempat ialah 7 baris serangkap.
  • Panjang pendek barisnya tidak sama, iaitu antara satu hinga enam patah kata atau tiga hingga dua belas suku kata sebaris.
  • Sajak ini berbentuk bebas.
Unsur-unsur bunyi:-
  • Asonansi: Contohnya, bila mewah harta dibirai mata (pengulangan vokal a)
  • Aliterasi: Contohnya, pada derita nenek moyang dahulu kala (pengulangan konsonan d)
  • Rima akhirnya bebas. Rangkap 1: aaa, Rangkap 2: aaa, Rangkap 3: aaa, dan Rangkap 4: abbbbbb.
Unsur-unsur bahasa:-
  • Pengulangan baris. Contohnya: baris pertama bagi rangkap pertama hingga rangkap ketiga adalah sama, iaitu Kian kita lupa.
  • Metafora. Contohnya, birai mata
  • Inversi. Contohnya, mewah harta
  • Sinkope. Contohnya, tak
  • Perlambangan. Contohnya, di sana melambangkan akhirat
Nilai:-
  • Bersyukur. Contohnya, Tuhan mengurniakan kesenangan dan kemewahan untuk disyukuri.
  • Bersedrhana. Contohnya, Kita tidak seharusnya terlalu berbangga dengan kemewahan yang dimiliki kerana kesusahan dan kesedihan akan muncul bila-bila masa.
Pengajaran:-
  • Janganlah kita lupa diri apabila memperoleh kemewahan.
  • Kita hendaklah bersyukur dengan nikmat Tuhan.

Pantun Dua Kerat(Nasihat)


Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh hendak lagi.

Ikan siakap ikan senohong,
Banyak cakap banyak bohong.

Pecah kaca pecah gelas, 
Sudah dibaca harap balas.

Emas perak tembaga suasa,
Malas bergerak tidak merasa.

Pagi petang siang malam,
Hati terang senang faham.

Kumbang jarak kumbang jagung,
Berani buat berani tanggung.

Tunggu durian Teluk Emas,
Siapa kemudian kena kemas.

Buah cempedak dalam gantang,
Siapa hendak dia datang.

Periuk belanga pasu kuali,
Busuk nama menipu mencuri.

Saya kata itik, awak kata ayam,
Sudah kena jentik, baru nak diam.

Maksud setiap rangkap :-
  • Ragkap 1: Keinginan untuk mendapatkan sesuatu pemberian sekiranya tiada halangan.
  • Rangkap 2: Orang yang banyak berkata-kata akan melakukan lebih banyak kesilapan.
  • Rangkap 3: Balasan yang diharapkan daripada penerima melalui surat yang diutus.
  • Rangkap 4: Orang yang tidak berusaha tidak akan memperoleh apa-apa.
  • Rangkap 5: Pemikiran yang cerdas membuatkan seseorang lebih mudah memahami sesuatu.
  • Rangkap 6: Tanggungjawab yang harus ditanggung atas perbuatan yang dilakukan.
  • Rangkap 7: Orang yang terakhir dikehendaki menyiapkan atau membersihkan sesuatu.
  • Rangkap 8: Orang yang mememerlukan sesuatu perlulah menghadirkan diri.
  • Rangkap 9: nama seseorang akan tercemar sebagai akibat melakukan perbuatan yang keji.
  • Rangkap 10: Seseorang itu tidak akan mengulang perbuatan setelah menerima hukuman atau dendaan.
Tema: Nasihat kepada semua lapisan masyarakat ke arah kebaikan.

Persoalan:-
  • Keburukan orang yang banyak bercakap.
  • Malas berusaha tidak ada faedahnya.
  • Apabila sudah ditegur barulah hendak sedar.
  • Berusaha jika mahu mendapatkan sesuatu.
  • Orang yang suka menipu dan mencuri akan dikeji.
  • Berani menanggung sesuatu perkara yang telah dibuat.
Bentuk:-
  • Terdiri daripada 10 rangkap
  • Bilangan baris dalam setiap rangkapnya sama, iaitu 2 baris
  • Setiap baris mempunyai 4-6 patah kata
  • Setiap baris terdiri daripada 8-12 suku kata
  • Rima akhir setiap rangkap aa
Unsur-unsur bunyi:-
  • Asonansi: Contohnya, Hati terang senang faham (pengulangan vokal a)
  • Aliterasi: Contohnya, Kumbang jarak kumbang jagung (pengulangan konsonan k)
  • Jeda, iaitu hentian sejenak ditengah baris semasa mendeklamasikan pantun. Contohnya, Emas perak/tembaga suasa, Malas bergerak/tidak merasa [Tanda / bermaksud tanda jeda/pemenggalan puisi/sizura]
Gaya Bahasa:-
  • Imej alam-daun keladi, ikan siakap, durian, cempedak
  • Sinkope-nak
  • Repetisi-(pengulangan kata dalam baris). Contohnya : Berani buat berani tanggung
  • Metafora- Hati terang
Nilai:-
  • Keberanian
  • Kerajinan
  • Bertanggungjawab
  • Penghargaan
  • Kejujuran
Pengajaran:-
  • Janganlah berbohong kerana perbuatan itu sia-sia
  • Kita seharusnya rajin berusaha supaya apa-apa yang dihajati tercapai

Pengenalan Sastera


Rajah tersebut mengambarkan pelbagai genre sastera melayu yang dapat dipelajari oleh semua masyarakat. Tetapi, Biografi digantikan dengan puisi tradisional manakala Esei/Kritikan digantikan dengan prosa tradisional. Kesusasteraan melayu mempunyai 6 genre utama iaitu:-
  1. Novel
  2. Cerpen
  3. Sajak
  4. Drama
  5. Prosa Tradisional
  6. Puisi Tradisonal
Prosa tradisional boleh terdiri daripada cerita berbingkai, mitos, legenda, epik melayu, dan epik hindu.
Manakala Puisi tradisional terdiri daripada pantun, syair, gurindam, dan seloka.

Apabila kita membaca sesuatu teks sastera, kita seharusnya mempunyai penghayatan yang sesuai seperti :
  • Tema dan Persoalan
Tema merupakan persoalan yang utama dalam sesebuah karya yang terungkap secara tidak langsung (eksplisit) atau secara langsung (implisit) manakala persoalan adalah perkara-perkara kecil yang berhubungan dengan tema.
  • Plot (susunan peristiwa)
Terdiri daripada dua bahagian iaitu jenis plot (Kronologi dan Tidak kronologi), dan Binaan Plot (Permulaan, Perkembangan, Puncak, dan Peleraian).
  • Watak dan Perwatakan
Setiap sastera mempunyai watak serta perwatakan ia tersendiri bagi menghidupkan lagi sastera tersebut. Watak boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu Watak utama (watak penting yang menggerakkan cerita), Watak Sampingan (watak pembantu), Watak Bundar (mempunyai sifat yang lebih kompleks berbanding watak-watak lain), Watak Kodi (watak konvensional seperti nenek kebayan), Watak Pipih (mempunyai satu sifat/fikiran sahaja), Watak Dinamik (berkembang dan berubah dari segi aksi, emosi, dan fikiran), dan Watak Statik (tiada perubahan dari segi wataknya).
  • Teknik Plot
Terdapat beberapa tenik plot yang diselitkan dalam sastera-sastera melayu seperti Dialog (percakapan antara watak), Monolog (pengucapan watak secara bersendirian), Monolog Dalaman (pengucapan batin watak), Imbas Kembali (peristiwa yang dikenang semula), Imbas Muka (Ramalan peristiwa akan datang), Suspens (perasaan ingin tahu), Kejutan (kemunculan peristiwa secara tiba-tiba atau tidak sangka), dan Konflik (Pertentangan dua pihak). Konflik boleh dibahagikan kepada dua iaitu Konflik Luaran (antara watak dengan watak lain) dan Konflik Dalaman (pertentangan dalam diri watak).
  • Gaya Bahasa
Terdiri daripada ayat, diksi, perlanbangan, aliterasi, asonansi, rima, personifikasi, simile, metafora, hiperbola, sinkope, dan pengulangan (anafora dan epifora).
  • Latar
Ada empat latar utama iaitu tempat, masyarakat, masa, dan suasana.
  • Teknik & Bentuk Drama

Ada lima teknik dama iaitu babak, adegan epilog, prolog, dan episod. Babak merupakan bahagian dalam drama yang mempunyai latar yang berbeza. Adegan ialah bahagian kecil dalam babak yang menggunakan satu latar sahaja. Epilog merupakan penutup drama dengan menggunakan pengucapan puisi/prosa. Prolog ialah pendahluan drama dengan menggunakan pengucapan puisi/prosa. Akhir sekali, episod adalah satu peristiwa dalam drama sebagai suatu aksi yang dapat berdiri sendiri.